KUALA LUMPUR: Keluarga aktivis Keadilan, Bill Kayong diiringi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan peguam mereka, menghantar memorandum kepada Pejabat Peguam Negara bagi menuntut keadilan dalam pembunuhan kejam aktivis tersebut.
Memorandum tersebut, menurut Suara Keadilan, diberikan untuk merayu kepada Peguam Negara dan Jabatan Peguam Negara untuk membuka semula serta melihat kembali kemungkinan bagi mendakwa semula tiga suspek utama yang dilepaskan oleh mahkamah baru-baru ini.
Menurut Nurul Izzah, ini adalah satu pembunuhan kejam yang tidak dapat diterima sesiapa terutama ianya dilakukan secara terang-terangan di tempat awam dan seharusnya kes ini diberi perhatian yang serius oleh Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali.
“Bila masa pendakwaan tidak membuahkan hukuman kepada mereka yang bertanggungjawab, saya harap dapat dipanjangkan kepada peguam negara dan harus ada pendakwaan semula,” katanya pada sidang media di lobi Pejabat Peguam Negara semalam.
“Ini bukan dalam bidang kuasa saya , saya betul-betul minta sekurang-kurangnya diambil dengan serius. Saya tidak mahu aktivis lain terus hidup dalam keadaan takut sedemikian,” katanya lagi seperti dipetik Suara Keadilan.
Memorandum tersebut diserahkan kepada wakil Pejabat Peguam Negara di lobi pintu utama dan dimaklumkan akan memberi jawapan dalam tempoh 15 hari.
Menurut peguam keluarga Bill Kayong, Murni Hidayah, ini ialah pilihan yang mereka ada demi menuntut keadilan dan sangat berharap Peguam Negara dapat membuka semula pendakwaan terhadap tertuduh yang dilepaskan.
Beliau juga berkata, mereka akan memberi kerjasama dan terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan peguam negara dalam kes ini.
Sementara itu, adik Bill Kayong, Davy Kayong berkata, walaupun kecewa tidak dapat berjumpa Peguam Negara, keluarga mereka meletakkan harapan yang besar untuk membuka semula kes ini.
“Kami memang ada rasa kecewa tetapi kita berharap dapat simpati agar kes dapat dijalankan dengan adil.
“Kita juga berharap memorandum kita hantar akan dapat respon dari Peguam Negara. Sudahlah kami kehilangan nyawa, tempat berlindung keluarga, anak masih sekolah dan harap dalang akan dapat diadili sekali lagi,” katanya.
Jun lalu, Mahkamah Tinggi Miri melepaskan tiga lelaki yang merupakan suspek dalam pembunuhan Bill Kayong dengan alasan pihak pendakwa tidak berjaya memberikan bukti secukupnya. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment