23 hantu dadah dicekup di kawasan Gita-Metrocity

KUCHING: Seramai 23 individu “hantu dadah” berjaya dijaring setelah didapati positif dadah dalam satu operasi bersepadu yang diketuai penguat kuasa AADK di laluan Kampung Pinang Jawa ke Metrocity, malam semalam

Ketua Daerah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuching, Sharifah Azimah Syed Ismail berkata, kejayaan ini amat memberangsangkan biarpun ia hanya operasi bersepadu kedua dilaksanakan AADK pada tahun ini.

“Operasi pertama berlangsung pada bulan Mac lalu di pekarangan tasik Kompleks Baitulmakmur di Petra Jaya.

Azimah berkata, pihaknya telah menyaring 148 individu malam tadi dan mereka yang ditahan berusia sekitar 13 hingga 40 tahun.

“Mereka ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan Pemulihan 1983 Pindaan 1998.

Secara keseluruhannya, sejak tahun 2015 hingga 2017, sebanyak 17 kes terkumpul direkodkan di kawasan Gita, dengan lima daripadanya ditahan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

“Mereka ini dikehendaki melapor diri setiap bulan ke pejabat AADK dan perlu mengikuti program-program yang dianjurkan oleh AADK, sebagai prosedur pemulihan selama dua tahun.

“Jika terdapat ada antara mereka yang masih positif dadah, lanjutan kes akan dikenakan kerana melanggar syarat pengawasan.

“Ini membolehkan mereka dihukum di bawah seksyen yang sama, yang membawa kepada tiga kali sebatan dan maksimum tiga tahun penjara.

Setakat ini katanya, masalah penagihan dadah di bandar raya ini masih lagi terkawal dengan sebanyak 703 kes direkodkan di bawah pengawasan dan kawal selia AADK Kuching sejak dua tahun lalu.

“Kempen ini akan berterusan hingga kita dapat mengurangkan jumlah penagihan dadah ke tahap yang kecil,” ujarnya lagi.

Operasi malam tadi melibatkan sebanyak 79 anggota daripada AADK, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Balai Polis Gita, dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU). – Sarawakvoice

Comments