Sabung ayam siber tumpas di Kuching

KUCHING: Sabung ayam siber. Itu modus operandi terbaharu golongan tahi judi yang dikesan di bandar raya ini semalam.

Bersandarkan maklumat awam, satu serbuan sekitar jam 8.30 malam dilakukan  oleh sepasukan anggota siasatan jenayah negeri yang diketuai Asisten Superintendan Shuib Abdul Samat.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar ketika mengesahkan serbuan berkata, lokasi serbuan adalah di tingkat dua, sebuah rumah kedai di Pusat Komersial Hui Sing di Jalan Stampin di sini.

“Ketika memasuki premis berkenaan, pasukan polis melihat sekumpulan lelaki dan wanita sedang khusyuk dengan aktiviti sabung ayam siber ini , dengan menyaksikan pertarungan secara langsung melalui striming dari luar negara.

Katanya, seramai 12 suspek kaki judi yang berusia di antara 34 dan 64 tahun telah dicekup, termasuk dua wanita dan seorang lelaki dipercayai pengurus premis yang berusia 52 tahun.

“Antara eksibit yang disita termasuklah dua unit komputer riba, satu unit komputer, dua set televisyen, peralatan Wifi dan wang tunai berjumlah RM194.

Pengurus premis kata Dev, telah direman selama tiga hari sehingga sebutan kes pada 22 Ogos depan. – Sarawakvoice


Comments