Banjir: 29 sekolah terjejas, 8 tutup, 4 sungai di paras amaran di Sarawak

KUCHING: Situasi banjir di Sarawak semakin buruk dengan 29 sekolah terjejas banjir.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin berkata, daripada jumlah itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak melaporkan lapan sekolah diarah tutup, namun tidak ada yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 5.00 petang semalam.

“Sekolah-sekolah yang terjejas dan tidak beroperasi ini melibatkan keseluruhan murid  715 orang.

Antara sekolah yang diarah tutup termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Lenei di Mulu yang melibatkan 42 murid, SK Kuala Kebulu, Murum (48 murid), SK Bukit Balai, Murum (364 murid).

Turut tidak beroperasi SJK Hang Kwang di Sibu (15 murid), SK Nanga Assan, Sibu (103 murid),  SK Tanjung Latap, Sibu (72 murid),  SJK Yong Shing, Sibu (10 murid),  dan SK Nanga Kain, Kapit (61 murid).

Sementara itu kata Ismail, Jabatan Meteorologi pada jam 4 petang semalam melaporkan hujan mencurah di Daerah Kuching, Bau, Samarahan, Betong, Sarikei dan Kapit.

Manakala Jabatan Pengairan dan Saliran mencanangkan paras amaran di
Sungai Salim B (Sibu), Rumah Along, Sungai Kemena (Bintulu), Tubau, Sungai Kemena (Bintulu) dan Long Jegan di Sungai Baram (Miri). – Sarawakvoice


Comments