Empangan Bakun sah milik Sarawak semalam — Sarawak Energy

KUCHING:  Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) semalam memuktamadkan pembelian pegangan Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB) menerusi pemeteraian Perjanjian Pembelian Saham.

Sehubungan itu, Sarawak Energy, kini menguasai keseluruhan SHSB yang merupakan pemilik dan pengendali Empangan dan Loji Hidroelektrik Bakun.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Sharbini Suhaili, berkata kejayaan menguasai Loji Hidroelektrik Bakun yang menjana 2,400MW tenaga — terbesar di negara ini — dapat direalisasikan dengan sokongan serta kepimpinan kukuh Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

“Kejayaan ini membolehkan kami menyatukan semua penjanaan tenaga, selain menguasai pemilikan dan pengendalian penuh terhadap semua kemudahan penjanaan elektrik utama di Sarawak.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas kepercayaan berterusan mereka kepada Sarawak Energy untuk  membangun dan menguruskan sumber tenaga Sarawak,” katanya.

Perjanjian untuk melangsaikan pembelian Loji Hidroelektrik Bakun pada harga RM2.5 bilion telah dimuktamad dan dimeterai di pejabat Sarawak Hidro di Selangor semalam dengan kehadiran wakil semua pihak yang terlibat.

Berikutan penyempurnaan perjanjian tersebut, SEB Power Sdn Bhd – anak syarikat milik penuh Sarawak Energy – menguasai 100 peratus saham dalam SHSB yang sebelum ini dimiliki Kementerian Kewangan dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Kementerian Kewangan akan mengekalkan Surat Akujanji dan Jaminan Kerajaan semasa mengenai hutang sedia ada SHSB.

Pemerolehan itu dibiayai menerusi gabungan dana dalaman Sarawak Energy dan pembiayaan SUKUK.

Sarawak Energy merupakan syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Sarawak dan memiliki lebih 4,600 kakitangan.

Ia turut mempunyai hak pemilikan terhadap Empangan Hidroelektrik Batang Ai, Empangan Hidroelektrik Murum dan yang dalam pembinaan, Empangan Hidrolektrik Baleh. Pada 2025, ia dijangka memulakan proses pembinaan Empangan Hidroelektrik Trusan di Lawas. – Sarawakvoice

Comments