Lelaki dari Bintulu ditahan miliki dadah di Kampung Semarang, turut dikehendaki untuk bantu kes rogol

KUCHING: Polis Kuching berjaya mencekup seorang penganggur awal malam tadi di Kampung Semarang di sini kerana dipercayai terlibat dalam jenayah salah guna dadah.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 7.50 malam di Lorong 5 kampung tersebut, setelah pihak polis membuat pengesahan terhadap maklumat risikan yang diterima.

“Suspek merupakan lelaki Iban yang berusia 34 tahun, dan berasal dari Bintulu.

“Ketika ditangkap di hadapan rumah, suspek tidak melawan.

Pemeriksaan lanjut ke atas badannya kemudian menemui satu beg kecil berzip warna kuning, yang dipegang pada tangan kanannya.

“Di dalam beg tersebut, tersimpan 10 paket plastik lut sinar, yang setiap satunya mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dan satu paket plastik cerah berisi tujuh tiub straw.

Setiap tiub ini pula kata Abang Ahmad, berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah.

“Jumlah keseluruhan syabu yang dirampas adalah sebanyak 10.63 gram, dengan anggaran harga RM1913.40.

Hasil ujian saringan awal polis pula mendapati suspek positif dadah jenis Methaphetamine.

Menurutnya, polis kemudian merampas barang kes tersebut dan suspek ditahan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan awal kita mendapati suspek turut dikehendaki oleh IPD Bintulu, bagi menbantu siasatan kes jenayah rogol di bandar itu,” tambahnya. – Sarawakvoice

Comments