46 remaja, 13 pelajar sekolah dicekup kerana dadah di Kuching

KUCHING: Polis Kuching telah menahan sejumlah 46 remaja bawah 17 tahun termasuk 13 pelajar sekolah menengah kerana disyaki terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, mereka merupakan sebahagian daripada keseluruhan tangkapan jenayah narkotik yang telah dibuat dalam tempoh Januari hingga Julai 2017.

Sejumlah 847 tangkapan telah dilakukan menerusi 694 serbuan narkotik dalam tempoh berkenaan.

Daripada jumlah ini, kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang melibatkan saringan urin yang positif telah mencatatkan 424 kes dan tangkapan.

“Untuk kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pula, sebanyak lapan kes dan 16 tangkapan telah dihasilkan,” katanya ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Bersama Ketua Polis Daerah Kuching di sini pagi semalam.

Jelas Abang Ahmad, dadah jenis syabu adalah yang paling banyak dirampas iaitu sebanyak 5,660 gram, dengan nilai anggaran pasaran mencecah lebih RM1 juta, diikuti dadah jenis ganja 928 gram yang bernilai RM18,500.

Menurutnya lagi, jenayah kekerasan pula telah menunjukkan penurunan sebanyak 9.45 peratus iaitu 182 kes pada tahun ini berbanding 201 kes tahun lepas.

“Ini menunjukkan kadar jenayah kita masih rendah,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice


Comments