KUCHING: Enam pegawai dan anggota polis yang ditahan reman lima hari sebelum ini, kerana melakukan peras ugut ditahan semula, sebaik Mahkamah Majistret Kuching membebaskan mereka dengan jaminan polis.
Tangkapan semula tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching bagi membantu siasatan satu lagi kes di bawah seksyen yang sama, tetapi yang dilaporkan di Balai Polis Sekama.
Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar mengesahkan prosedur tangkap semula tersebut.
Terdahulu keenam-enam suspek telah ditahan reman sejak 9 Ogos lalu selama tiga hari, sebelum disambung dua hari lagi pada Sabtu.
Sebelum ini, tangkapan terhadap mereka dilakukan setelah polis menerima laporan berhubung kes tersebut pada 3 dan 8 Ogos lalu di Balai Polis Batu Kawa dan Sematan.
Bertolak dari laporan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah telah melaksanakan intipan, siasatan sebelum memutuskan tangkapan.
Keenam-enam mereka ditangkap dalam satu operasi khas yang dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Khas D9 IPK Sarawak bermula lewat malam hingga jam 4 pagi pada 9 Ogos.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan. – Sarawakvoice (gambar fail)
Comments
Post a Comment