Peras ugut: Inspektor dan empat pegawai hadapi tujuh pertuduhan di Mahkamah Kuching

KUCHING: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan empat anggota lain-lain pangkat mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Inspektor Joslin Savantil daripada Cawangan Pelesenan Ibu Pejabat Polis Kontijen Negeri berhadapan tuduhan bersama dengan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, Koperal Mohd Mustaqim Che Ismail melakukan peras ugut terhadap peniaga rokok haram di Taman Sri Harmoni, Matang pada jam 8.30 malam pada 3 Ogos lalu.

Dalam kes yang lain, Joslin turut dituduh melakukan peras ugut yang sama terhadap seorang penjual rokok haram di kedai serbaguna Batu Lintang pada jam 12.30 petang, 31 Julai, yang turut melibatkan dua lagi anggota IPD Kuching; Lans Koperal Mohd Aslan Rasgan dan Lans Koperal Mohd Noor Faiz Khalidi.

Mustaqim pula dituduh bersama-sama dengan Koperal Hamizam Hamdi Chia melakukan peras ugut terhadap penganjur judi holo dan 4D haram pada jam 6.30 petang 8 Ogos lalu, di hadapan sebuah rumah Kampung Temaga Dayak, Sematan.

Tiga Mahkamah Sesyen yang bersidang pagi ini menetapkan 25 September depan untuk sebutan semula kes.

Keputusan diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen 1, Afidah Abdul Rahman; Hakim Mahkamah Sesyen 2, Dayang Elynn Narissa Abang Ahmad, dan Hakim Mahkamah Sesyen 3, Timothy Finlayson Joel.

Kesemua mereka diikat jamin RM20 ribu setiap seorang oleh dua penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.

Sabit kesalahan, setiap pertuduhan berhadapan maksimum 10 tahun penjara atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali.

Seorang lagi anggota polis yang turut sama ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis.

Empat tertuduh diwakili peguam Shankar Ram Asnani dan Daniel Ling kecuali Faiz yang diwakili Hani Iryani Boni. – Sarawakvoice


Comments