Projek Darul Hana bermula rancak, tumpuan kepada rumah berkembar dan teres — Dr Abdul Rahman

KUCHING: Projek Pembangunan Darul Hana kini berjalan rancak dengan kerja-kerja tanah dan tapak telah pun bermula.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kerja-kerja ini melibatkan kawasan Blok 2A, iaitu rumah berkembar dan Blok 1A, iaitu rumah teres satu dan dua tingkat.

“Kerja-kerja pembinaan ini akan mengambil masa selama 18 hingga 24 bulan.

“Dan ia mungkin siap menjelang awal tahun 2020, melibatkan lebih 480 rumah, yang dikhaskan untuk tiga buah kampung iaitu Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Pulo,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Kembara Jiran: Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dewan Undangan Negeri Lama di sini semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Elektrik Luar Bandar berkata, tiga kampung terbabit dijangka berpindah ke penempatan baharu di Darul Hana secara bertahap selepas tahun 2020.

“Secara keseluruhan, proses penempatan semula penduduk Seberang Hilir ke lokaliti baharu ini akan mengambil masa antara 12 hingga 15 tahun.

“Ia melibatkan 12 buah kampung, 2,640 ketua isi rumah dan 2,600 buah rumah baharu,” jelasnya lagi.

Katanya, sekiranya projek Darul Hana ini siap mengikut jadual yang telah ditetapkan maka penduduk di Seberang Hilir akan dapat menikmati transformasi yang telah dirancang oleh Kerajaan Negeri untuk membantu mereka mendapatkan keselesaan asas yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Projek Darul Hana dicetuskan di kawasan Seberang Hilir, terutamanya sepanjang jajaran Jalan Brooke yang berhadapan masalah kepadatan yang kritikal.

Penduduk dan rumah yang sesak menyebabkan wujudnya isu-isu pembandaran seperti kesesakan jalan, kediaman yang tidak selesa, perparitan yang tidak sempurna dan tiada ruang untuk penyediaan tempat bersukan dan beriadah.

“Projek ini merupakan model pertama yang melibatkan pembangunan semula kampung dekat bandar d negeri ini tanpa melibatkan proses pemindahan penduduk ke lokasi lain.

Program Kembara Jiran: Kempen Kibar Jalur Gemilang bermula di KRT Kampung Cemerlang di Stampin sebelum berkonvoi ke KRT Taman Siniawan dan bergerak ke KRT Kampung Sinar Budi Lama serta KRT Kuching Family Park sebelum berakhir di pekarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama.

Ia melibatkan lebih 60 buah kenderaan yang dihiasi jalur gemilang dan bendera Sarawak. – Sarawakvoice

Comments