KUCHING: Kerana peras ugut dua peniaga dan beberapa kes lain, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan lima anggota lain-lain pangkat ditahan reman tiga hari bermula hari ini.
Majistret Zulhairil Sulaiman membenarkan perintah reman tersebut sekitar jam 10.30 pagi tadi untuk membantu siasatan setelah mendengar permohonan pegawai penyiasat, Inspektor Ajass Mohd Ibrahim.
Dalam satu kenyataan pagi tadi, Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar mengesahkan penahanan pegawai ini yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontijen serta anggota beberapa balai di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.
Mereka ditahan dalam operasi khas lewat malam tadi hingga jam 4 pagi tadi, masing-masing di kediaman dan tempat kerja di Kuching, Padawan dan Lundu.
Operasi tersebut dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Siasatan Jenayah Khas D9 IPK Sarawak yang diketuai Deputi Superintendan Sarifudin Mustaffa, dengan dibantu pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan.
Terdahulu, dua individu telah tampil
membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kawa dan Balai Polis Sematan berhubung tindakan kumpulan ini melakukan peras ugut terhadap mereka.
Suspek yang berpangkat Inspektor berasal dari Sabah, berusia 53 tahun dan bertugas di Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontijen.
Lima yang lain merupakan anggota berpangkat rendah yang berusia sekitar 25 hingga 32 tahun, daripada balai-balai di Padungan, Satok, Tabuan Jaya, Sekama dan Sematan.
Kes disiasat atas kesalahan peras ugut di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment