Harapan tegas tuntut 20% royalti petroleum, seragamkan gaji minimum Sarawak dan Sabah- Nurul Izzah

KUCHING: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata Pakatan Harapan (Harapan) mahu mempertingkat integrasi nasional antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil.

Bercakap menyertai Sesi Teh Tarik dan Borak Santai anjuran Lawyer Kamek For Change, program kesinambungan siri jelajah nasional yang dilancarkan di Pulau Pinang sebelum ini, Nurul berkata PKR sudah lama menyuarakan tuntutan royalti 20 peratus petroleum dan sumber hidrokarbon untuk Sarawak dan Sabah.

Memetik Sinar Harian pada Isnin, Nurul berkata Harapan tegas memansuhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta menangani isu pengangguran.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu yang kini dibenar memasuki Sarawak selepas dihalang hujung 2015, menuding Kerajaan Negeri sebagai gagal melindungi rakyat Sarawak daripada GST termasuk semua keluarga miskin di pedalaman.

Nurul mendedahkan, walaupun Selangor dan Pulau Pinang tidak mempunyai sumber alam yang kaya seperti Sarawak, kedua-dua kerajaan negeri mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda.

Beliau turut berjanji bahawa Harapan sedia menyeragamkan kadar gaji minimum RM1,000 di semua wilayah Sarawak, Sabah dan Semenanjung.

Sebelum ini dua pemimpin wanita PKR, Nurul dan Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dibenar melepasi pintu imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) walaupun nama mereka masih terdapat dalam senarai orang dihalang memasuki Sarawak.

Nurul sebelum ini menghadiri Majlis Silaturahim Bersama Keadilan Rumah Terbuka Majlis Pemimpin Negeri (MPN) di pejabat PKR Cabang Petra Jaya menyifatkan kehadiran beliau di Sarawak “bukan penjenayah” dan bertujuan “berhubungan dengan rakyat Sarawak”. SarawakVoice

Comments