Bot pancing dirempuh kapal kargo di Muara Tebas, 16 pemancing selamat, kapal ditahan

KUCHING: Bukan sahaja hajat 16 pemancing tertunda, malah mereka sendiri berhadapan detik mencemaskan apabila bot yang dinaiki dalam perjalanan ke laut lepas, dilanggar oleh sebuah kapal kargo awal malam semalam.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Sarawak, Shahref Steve Mac Queen Abdullah, insiden berlaku sekitar jam 7.50 malam tadi di kedudukan lima batu nautika dari Muara Tebas di sini.

“Ketika kejadian, bot yang didaftarkan dengan nama Ocean Shadow QKH7833Z telah dilanggar oleh sebuah kapal kargo tanpa muatan yang didaftar dengan nama Yu Lee 88.

“Sejurus mendapat laporan, pihak kami telah mengatur gerak sebuah bot laju Maritim Malaysia ke lokasi, dan pemeriksaan awal selepas itu mendapati bot pancing tersebut mengalami kerosakan bahagian sisi kanan kerana dilanggar.

Katanya, kapal kargo yang melanggar pula tidak mengalami sebarang kerosakan.

“Tetapi pemeriksaan lanjut oleh anggota kita mendapati kapal tersebut telah melanggar peraturan.

“Ini kerana ia belayar tanpa nakhoda dan ketua jurutera yang berkelayakan dan diiktiraf Jabatan Laut Malaysia.

Sehubungan itu kata Shahref, pihaknya telah menahan kapal bersama-sama dua kru tempatan dan tiga kru warganegara asing yang berusia 19 hingga 51 tahun di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin di Muara Tebas.

Siasatan lanjut kini dijalankan di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952, katanya lagi.

Bot malang tersebut tidak meneruskan pelayaran, sebaliknya diiring kembali ke jeti asal di Kampung Goebilt di sini. – Sarawakvoice

Comments