Lelaki ditemui mati di dalam bilik hotel di Kuching

KUCHING: Seorang lelaki warga China ditemui mati di dalam bilik di tingkat dua sebuah hotel di Jalan Tun Jugah, di sini, hari ini.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Wei Wei, 57, berasal dari Xin Jiang, China, ditemui pekerja hotel itu yang membuat pemeriksaan pada jam 1.30 tengah hari.

Ketika ditemui, mangsa terbaring di lantai dengan teh herba keluar dari mulutnya.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, berkata polis yang tiba di lokasi tidak menemui sebarang kecederaan fizikal pada tubuh mangsa.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati keadaan di dalam bilik mangsa kemas dan teratur tanpa ada sebarang kesan pergelutan.

"Terdapat sisa muntah di bantal dan di atas lantai. Pasport, telefon bimbit dan dompet ada di dalam beg mangsa.

"Berdasarkan rekod hotel, mangsa mendaftar masuk pada 28 Ogos dan sepatutnya keluar pada 30 Ogos, namun dia meminta ditambah sehari lagi sehingga hari ini," katanya.

Abang Ahmad berkata, tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut dan pihak Kedutaan China akan dimaklumkan mengenai kejadian itu," katanya.

Comments