Suspek kes dera anak kandung dicekup pagi tadi di Lundu

LUNDU: Ketua Polis Daerah Lundu, Deputi Superintendan Wong Chee Keong sebentar tadi mengesahkan pihaknya telah berjaya menahan suspek utama kes penderaan kanak-kanak daerah itu.

“Tangkapan dilakukan sekitar jam 10.10 pagi tadi oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu.

“Suspek merupakan bapa kepada mangsa dan berusia 18 tahun kini ditahan di lokap Balai Polis Lundu,” katanya sebentar tadi.

Dalam kejadian malam tadi, polis yang menerima laporan doktor daripada Hospital Daerah Lundu mengesan kesan patah lama dan baru pada lengan serta pergelangan tangan sebelah kanan seorang kanak-kanak berusia 1 tahun 11 bulan, lalu mengesyaki beliau menjadi mangsa penderaan.

Chee Keong ketika mengesahkan kejadian memberitahu, mangsa sebelum itu dibawa ke Hospital Daerah Lundu kerana mengalami cedera di muka, tangan dan kaki.

Mangsa berketurunan Bidayuh dari Kampung Opek dekat sini, dibawa ke hospital sekitar jam 7.30 petang semalam dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lebam pada anggota badan tersebut.

Kanak-kanak perempuan itu kini dirujuk ke Bahagian Otopedik Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Kes kini diklasifikasikan sebagai dera di bawah Seksyen 31(1)(a)Akta Kanak-Kanak 2001. – Sarawakvoice

Comments