Murid Tahun Satu Mati Disyaki Dibelasah Senior Di Kapit

KAPIT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditahan polis di sebuah sekolah berasrama di Kapit kerana disyaki menyebabkan kematian seorang murid darjah satu di sekolah yang sama.

Pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa yang berusia 35 tahun mengatakan anaknya yang berusia tujuh tahun dimasukkan ke Hospital Sibu pada 22 Ogos.

Semasa bapanya tiba di hospital, dia telah dimaklumkan bahawa anaknya mengalami kecederaan parah di kepala selain turut terdapat kesan lebam di anggota badannya.

Mangsa disahkan meninggal dunia sekitar jam 3.30 petang Khamis dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.

"Bertindak kepada laporan tersebut, kita kemudian bertindak menahan suspek berusia 12 tahun untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, suspek dibebaskan atas jaminan polis kerana dijadual perlu menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada bulan hadapan.

Pada hari kejadian, mangsa dikatakan dibelasah oleh suspek di asrama mereka kerana marah dengan mangsa yang dikatakan mempermainkan nama bapanya.

Mangsa telah dibelasah suspek yang berang selepas dikatakan mangsa mengejeknya selain mempermainkan nama bapanya menyebabkan dia (suspek) turut bertindak menutup mulut mangsa menggunakan selimut.

Satu pasukan khas akan ditubuhkan yang diketuai Ketua Polis Daerah Kapit untuk menyiasat kes tersebut.

Kita memandang serius perkara ini dan siasatan terperinci akan dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada Guru Besar, guru-guru dan warden asrama sekolah tersebut. -SarawakVoice

Comments