Sebuyau berstatus bandar selepas jalan pesisir Sarawak siap — Julaihi

SEBUYAU: Bukan lagi berstatus pekan, Sebuyau akan bertukar wajah menjadi sebuah bandar tidak lama lagi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negerinya,  Datuk Julaihi Narawi, impian ini akan direalisasikan apabila rangkaian jalan pesisir yang sedang dirancang Kerajaan Negeri siap sepenuhnya.

“Rangkaian jalan raya dan jambatan di kawasan pesisir ini yang kini sedang dilaksanakan bukan sahaja akan mengubah lanskap kawasan pedalaman dan luar bandar, malah turut melonjakkan taraf hidup rakyat.

“Dan Sebuyau merupakan salah satu daripada pekan yang menerima tempiasnya,” katanya ketika merasmikan Projek Pembangunan Desa DUN Sebuyau dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Segali, di sini.

Julaihi yang juga Menteri Muda Pembangunan Insfrastruktur dan Pengangkutan Sarawak berkata, pelaksanaan projek ini akan membuka akses kepada lebih banyak peluang sosioekonomi, terutama yang berasaskan aktiviti pertanian dan industri asas tani.

“Kawasan ini memiliki banyak potensi pertanian, penternakan dan perikanan.

“Namun sebelum ini ia berhadapan kekangan dari segi logistik kerana ketiadaan sistem perhubungan darat yang sempurna.

“Dengan adanya akses perhubungan darat ke kawasan ini, ia akan membolehkan hasil pertanian dibawa keluar dan dijual.

Tambahnya, ia juga akan menarik kedatangan pelabur untuk menanam modal di sini.

Jalan pesisir merupakan laluan alternatif yang menghubungkan daerah di pesisir pantai di negeri ini, dengan jarak keseluruhan menjangkau 900 kilometer.

Ia menggabungkan laluan pesisir pantai Sarawak, dari Lundu, Asajaya, Sadong Jaya, Matu hingga ke Kuala Tatau. – Sarawakvoice

Comments