Polis Serian Cekup Penjawat Awam Jadi Runner Dadah



SERIAN: Kelicikan seorang penjawat awam yang bertindak sebagai 'runner' yang menghantar dadah bagi pasaran tempatan berjaya dihidu pihak polis apabila suspek berjaya dicekup berhampiran sebuah bank di bandar ini semalam.

Suspek yang berusia 36 tahun itu bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Kuching ditahan pada jam 1.15 pagi semalam.

Tangkapan itu ekoran dari penahanan lima lelaki berusia 18 hingga 35 tahun yang ditahan Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, ketika suspek ditahan, pihaknya merampas dadah jenis syabu seberat 2.5 gram yang dianggarkan bernilai RM650.

Menurutnya hasil siasatan awal mendapati suspek telah bertindak sebagai ‘runner’ menghantar barangan terlarang itu sejak lima bulan lalu dan dari rekod polis mendapati suspek juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit dadah dan curi kereta,.

Beliau berkata demikian ketika sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serian di sini pagi tadi.

Kes kini disiasat mengikuti Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.-Sarawakiana

Comments