Warga emas ghaib di Tatau, ditemui selepas tiga hari di bawah pokok

TATAU: Setelah tiga hari “ghaib” seorang warga emas wanita berjaya ditemui sedang berehat di bawah sebatang pokok, tujuh kilometer dari rumahnya.

Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan tidak berbaju, namun masih mampu mengukir senyum.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, mangsa Enkerebu Gamang, 69 tahun dari Rumah Micheal Junus, Rantau Aur, Nanga Tekalit, di sini ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar jam 10.45 pagi tadi.

“Terdahulu pada jam 11.50 pagi semalam, pihak kita menerima maklumat kehilangan mangsa daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Tatau.

“Balai Bomba dan Penyelamat Tatau kemudian mengatur gerak sebuah lori dan 11 anggota termasuk seorang anggota unit STORM ke lokasi.

“Setelah dijumpai, mangsa dibawa keluar dari hutan pada jam 12 tengah hari tadi sebelum diserahkan kepada ahli keluarga serta pihak perubatan.

Katanya lagi, mangsa memiliki sejarah penyakit nyanyuk dan pernah dilaporkan hilang sebelum ini. – Sarawakvoice

Comments