TMJ Puji Persatuan Bolasepak Sarawak Dan Sabah Yang Tidak Iri Hati



PETALING JAYA: Tuanku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuji Persatuan Bola Sepak Sabah dan Sarawak dan penyokongnya atas apa yang berlaku dalam dan luar padang.

“Bagi saya, paling bijak ialah persatuan bola sepak Sabah dan Sarawak. Penyokong persatuan bola sepak Sarawak desak perubahan daripada persatuan atau kelab mereka sendiri. Mereka tidak sibuk mencari silap orang lain, mencemburui orang lain ataupun cuba salahkan mana-mana pihak,” kata presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu dalam perbincangan Rabu lalu di Facebook.

Forum yang disiarkan secara langsung itu turut dihadiri pengulas bola sepak terkenal Shebby Singh.

Perbincangan tentang pengurusan persatuan bola sepak negeri itu juga menyentuh kejatuhan Persatuan Bola Sepak Kelantan, mengatakan hal itu disebabkan salah pengurusan dana dan bukan kerana campur tangan FAM.

TMJ ketika menyentuh isu Kelantan FA, berkata: “Awak tak bayar gaji tetapi salahkan orang lain? Dan kesilapan Kelantan ialah apabila ada RM10 juta, anda belanjakan RM15 juta. Itu masalahnya. Bagi saya itu masalah terbesar.”

Beliau kemudian mempersoalkan bagaimana hal itu menjadi salah pihak lain sedangkan persatuan bola sepak negeri itu sendiri gagal membayar gaji pemain.

TMJ juga menjelaskan keputusannya mengambil bekas jurulatih, Tan Cheng Hoe, sebagai pembantu jurulatih untuk pasukan kebangsaan awal tahun ini.

Menurutnya, ia kerana pihak FAM mahu mencari jurulatih tempatan yang boleh membantu kepakaran jurulatih luar negara.

“Beberapa hari selepas itu, kami mencari siapakah jurulatih tempatan terbaik? Pada masa yang sama, kita buat satu tawaran kepada yang berminat.”

Katanya, Tan ialah orang pertama yang mendekati beliau.

“Tan Cheng Hoe seorang jurulatih yang bagus dan saya suka beliau. Jadi kami duduk berbincang tentang gaji. Bagaimanapun, jika saya mahu mengambilnya, ianya akan menjadi konspirasi seolah-olah saya menggunakan FAM dan Tan untuk mengurangkan prestasi pasukan Kedah”, katanya.

“Pasukan Kedah memenangi 2 kejohanan tahun ini. Jika saya tawarkan RM100,000, kamu boleh salahkan saya mempunyai niat tersembunyi untuk mengurangkan prestasi pasukan itu kerana memotivasikannya dengan duit,” kata TMJ.

Tambahnya tawaran akhir lebih kurang sama dengan tawaran oleh Kedah FA tetapi untuk Tan membayar cukainya sendiri, bukan oleh majikannya kerana susunan itu terletak pada negeri.

“Saya menasihati beliau untuk kekal di Kedah tetapi dia putuskan sebaliknya, dan memilih untuk kekal dalam pasukan kebangsaan bawah kelolaan saya.”-Free Malaysia Today

Comments