Kuala Lumpur: Bajet 2018 yang bakal dibentangkan Oktober ini akan merangkumi aspirasi rakyat yang disampaikan menerusi siri dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan menunggu sehingga 2050 untuk melaksanakan input yang disuarakan menerusi siri dialog TN50, tetapi berusaha merealisasikannya secara berperingkat.
“Dialog TN50 ini bagi membuat perubahan pada masa akan datang, tetapi ada aspek tertentu yang kita perlu laksanakan pada masa ini.
“Sebagai contoh, perubahan dilakukan dalam bidang pendidikan hanya akan dapat dilihat hasilnya pada 2, 3 generasi akan datang,” katanya pada sesi dialog TN50 dan sambutan Hari Wanita Kebangsaan semalam.
Turut hadir ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Najib yang juga menteri kewangan turut memberi bayangan beberapa berita baik akan diumumkan khusus bagi wanita pada pembentangan belanjawan itu yang dijadualkan 27 Oktober nanti.
“Saya tidak mahu beritahu sekarang,” katanya.
Perdana menteri berkata, Bajet 2018 mengambil kira hasil pendapatan negara, sebelum memutuskan untuk mengeluarkan sebarang peruntukan.
Menyifatkan pengurusan belanjawan negara seperti menguruskan perbelanjaan rumah tangga, Najib berkata, kerajaan tidak boleh membelanjakan semua wang yang ada kerana jika berbuat demikian, ia bakal berdepan masalah kewangan.
“Kalau semua nak tambah peruntukan, duit bukan datang dari langit. Kita perlukan hasil untuk negara, sebab itu kita laksanakan GST (cukai barang dan perkhidmatan).
“Kalau kita hapuskan GST yang banyak digunakan untuk (membiayai) keperluan rakyat, terutama wanita seperti program kesihatan dan kemahiran, apa lagi yang boleh kita buat?” katanya.
Justeru, Najib meminta rakyat tidak termakan dengan janji pembangkang mahu menghapuskan GST kerana ia hanya cakap kosong untuk meraih sokongan. – Bernama
Comments
Post a Comment