Saya tidak halang Tun M masuk Sarawak untuk berkempen — Abang Jo

BAU: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak akan mengganggu,  menghalang ataupun menafikan kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir Mohamad ke Sarawak, yang dijadualkan esok.

Menjawab soalan wartawan pagi tadi, Abang Johari malah enggan mengulas kehadiran Tun M, sebaliknya memaklumkan bahawa beliau tidak akan berada di Kuching sewaktu kehadiran bekas Perdana Menteri itu.

“Kita hanya menafikan kemasukan golongan pelampau. Dan larangan itu masih kekal hingga kini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan 60 tahun Majlis Daerah Bau dan Perasmian Pesta Tasik Biru di sini.

Antara individu yang sebelum ini dikenakan arahan “not to land” (ntl) ialah Jamal Yunos, Lim Guan Eng dan Ibrahim Ali.

Dalam kenyataan kepada media dua hari lalu, Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen memaklumkan bahawa Tun M merupakan tarikan utama ceramah khas pembangkang esok sekitar jam 7 hingga 10.30 malam di pekarangan pasar raya Everrise di BDC, Kuching.

Turut berucap ialah pimpinan Pakatan Harapan lain seperti Lim Kit Siang daripada DAP dan Dr Hatta Ramli (Amanah).

Ketika ditanya ditanya apakah Tun M akan turut dihalang masuk, Abang Jo berkata: “kita lihat esok!”.

Abang Johari pada hari ini memulakan lawatan rasmi selama seminggu ke beberapa negara di Eropah termasuk Jerman dan Perancis, sebagai usaha untuk mengubah sistem pengangkutan awamnya. – Sarawakvoice


Comments