BETONG: Seorang lelaki berusia 49 tahun dijatuhi hukuman penjara 115 tahun dan 20 kali sebatan selepas mengaku bersalah terhadap lima tuduhan sumbang mahram dan satu tuduhan cabul terhadap anaknya sendiri.
Mahkamah Majistret Betong menjatuhkan hukuman 22 tahun penjara dan 5 sebatan terhadap setiap pertuduhan sumbang mahram yang dilakukan tertuduh, manakala untuk kes cabul, dijatuhi penjara lima tahun.
Semua hukuman tersebut akan berjalan serentak, bermula tarikh tertuduh ditahan pihak polis, menjadikan dia sebagai penghuni tirai besi selama 22 tahun.
Ia kejadian kedua dalam tempoh kurang sebulan selepas empat beranak menjadikan dua anggota keluarganya sendiri sebagai “santapan seks” di Kampung Paya Seroban di Serian.
Berdasarkan fakta kes, lelaki yang bekerja sebagai petani dan masih beristeri ini, mula “mengerjakan” anaknya sendiri yang kini berusia 15 tahun sejak tiga tahun lalu.
Tragedi malang ini bermula di sebuah pondok di ladang kelapa sawit milik tertuduh di kampungnya, ketika mangsa berusia 12 tahun.
Setelah itu, suspek terus menjadikan gadis malang ini sebagai gelanggang pelepas nafsunya berulang kali, termasuk di rumah mereka sendiri di Kampung Emplam, Kabong.
Mangsa bagaimanapun enggan membuat laporan polis, kerana khuatir tidak diberikan belanja sekolah, selain memahami tertuduh menjadi tempat mereka sekeluarga bergantung hidup.
Detik hitam ini bagaimanapun terdedah pada jam 8 pagi, 17 Ogos lalu, apabila mangsa meluahkan mimpi ngerinya itu kepada guru kaunselingnya di Sekolah Menengah Kerajaan Agama Saratok di sini.
Mangsa mengakui menjadi mangsa perkosa bapanya sebanyak lima kali lagi selepas insiden kelapa sawit itu, termasuk dicabul.
Mangsa yang juga anak tunggal pasangan itu, yang ibunya berusia 51 tahun, kini diletakkan di bawah jagaan dan pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kes dituduh di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment