Anggota Narkotik tahan dua suspek Indonesia edar dadah di Bintulu

BINTULU: Dua lelaki warga Indonesia diberkas oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu petang semalam kerana disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah di Bintulu.

Ketua Polis Daerah Bintulu, ACP Zailanni Amit berkata, dua suspek mengedar dadah sejak tahun 2013 ditangkap di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952  di rumah tidak bernombor di sebuah ladang sawit di Samalaju di sini sekitar jam 2 petang semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menjumpai 36 keratan tiub straw warna merah jambu dan kuning berisi ketulan kristal yang disyaki dadah syabu.

“Kedua-dua suspek mengaku membeli dadah tersebut daripada seorang kenalan berbangsa Bugis dikenali sebagai Rais di sebuah ladang sawit di Niah Miri,” ujarnya di sini semalam.

Beliau berkata, sebelum ini pasukan JSJ Narkotik yang diketuai ASP Ismuni Umar membuat intipan dan mengikuti suspek sehingga ke Samalaju sehingga membawa penangkapan suspek.

“Kekerasan minumum terpaksa digunakan kerana suspek bertindak agresif dan enggan bekerjasama. “Rakaman kenyataan risikan akan dibuat setelah permohonan reman dibuat oleh pegawai penyiasat ke atas suspek,” katanya sambil menambah anggaran kasar berat keseluruhan dadah dirampas adalah 8.5 gram dengan nilai harga  pasaran RM1,800.

Beliau berkata, risikan dan siasatan lanjut ke atas kes terbabit masih diteruskan. Utusan Borneo Online

Comments