Kes rogol anak sendiri di Sarikei, lelaki direman 5 hari

SARIKEI: Mahkamah Majistret Sarikei membenarkan permohonan polis untuk mereman seorang buruh kasar berusia 38 tahun bagi membantu siasatan satu lagi kes sumbang mahram, yang melibatkan anak kandungnya sendiri, yang berusia 15 tahun.

Majistret Caroline Majanil bertindak demikian selepas mendengar hujah permohonan setelah kes tersebut terbongkar sekitar jam 10.35 pagi semalam.

Mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga SMK Sungai Paoh, di sini sebelum itu mengadu sakit di bahagian perut kepada warden asrama.

Setelah dipujuk, mangsa menceritakan kepada warden terbabit akan perbuatan jijik bapa kandung memperkosanya.

Warden terbabit kemudian segera membawa mangsa ke Hospital Sarikei sekitar jam 12.40 tengah hari untuk pemeriksaan, sebelum pegawai perubatan di Bahagian Kecemasan Hospital Sarikei menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa diperkosa di rumah keluarganya di sebuah rumah panjang di Sungai Bulat, Sarikei sejak Julai lalu.

Dia ditahan sekitar jam 4.00 petang semalam di pekarangan Wad Kecemasan Hospital Sarikei ketika datang melawat mangsa. – Sarawakvoice

Comments