KUALA LUMPUR: Sejarah ialah landasan sesebuah negara untuk bergerak ke hadapan, dan memang penting untuk Malaysia melihat ke belakang berdasarkan cermin sejarah, tetapi jauh lebih penting ialah melihat masa depan, kata penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak.
Profesor Madya Dr Jeniri Amir berkata, Hari Malaysia ialah hari yang perlu diraikan 31 juta penduduk Malaysia daripada pelbagai kaum tidak kira di Sabah, Sarawak atau Semenanjung.
“Masa depan negara bangsa hanya dapat dibina dengan kewarasan, kebijaksanaan, wawasan dan komitmen bersama pemimpin dan rakyat,” katanya ketika diminta mengulas bagaimana Malaysia harus digerakkan ke hadapan.
“Survival atau penakatan kedaulatan Malaysia hanya dapat dimungkinkan dengan adanya kestabilan sosiopolitik di negara ini. Justeru kita perlu mengentalkan semangat kesepaduan sosial dan integrasi nasional,”ujarnya.
Dr Jeniri yang juga penulis prolifik berkata, kejayaan Malaysia dapat dipacu jika pemimpin dan kerajaan berpegang kepada prinsip keterangkuman dan kesaksamaan dengan tidak ada mana-mana kaum dan negeri berasa dipinggirkan.
Tambahnya, aspirasi pejuang dan pemimpin Sabah dan Sarawak serta Perjanjian Malaysia perlu dikotakan dengan peruntukan pembangunan perlu ditambah oleh kerajaan persekutuan.
Dengan itu, katanya, jurang pembangunan dan kemakmuran antara bandar dengan luar bandar dan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung dapat dirapatkan.
“Laut Cina Selatan, gunung-ganang, hutan rimba tidak harus menjadi pemisah antara Sarawak, Sabah dengan Semenanjung,” katanya lagi.
Kata Dr Jeniri, Hari Malaysia ialah tarikh dan detik penting kerana 16 September menyatukan penduduk di tiga wilayah 54 tahun lalu.
“Kita tak boleh biarkan racun dan anai-anai merosakkan rumah yang kita bina bersama pada 1963,” tegasnya.
“Malaysia yang maju dan makmur menuju ke arah TN50, jika kita memiliki persefahaman jitu sebagai satu bangsa,” katanya. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment