Sabah, Sarawak tidak boleh bernafas pada era Tun M

KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak ditadbir secara 'ketat' pada era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad berbanding pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata pada zaman pentadbiran Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri itu mengambil kesempatan terhadap Sarawak sehingga mengabaikan pembangunan fizikal di negeri itu.

"Kita tahu cara Dr Mahathir, beliau mentadbir secara mengawal dengan ketat Sabah dan Sarawak. Waktu itu Sabah dan Sarawak tidak boleh 'bernafas' tidak seperti di bawah kepemimpinan Najib.

"Kerana waktu itu kuasa politik Barisan Nasional (BN) yang kuat, Dr Mahathir ambil kesempatan terhadap Sarawak. Beliau 'terlepas pandang' tidak cuba beri prasarana seperti Lebuhraya Pan-Borneo seperti Najib lakukan sekarang.

"Beliau tidak cuba melihat masalah kawasan pedalaman di Sarawak. Waktu itu saya Menteri Pembangunan Luar Bandar, kita (kerajaan) cuma tengok secara am saja. Baru sekarang beliau gambarkan (kaji semula Perjanjian Malaysia 1963).

"Sepatutnya beliau gambarkan kepada kami ketika menjadi Perdana Menteri ketika itu. Sewaktu ada mandat beliau tidak hendak buat, waktu tidak ada mandat baru hendak buat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program BICARA BH: PRU14: Antara Mimpi & Realiti di Balai Berita, Bangsar di sini, hari ini. Pengarang Bersekutu (Ehwal Semasa) BH, Kadir Dikoh bertindak selaku moderator dalam program itu.

Annuar berkata, Dr Mahathir tidak sepatutnya cuba memperbodohkan rakyat Sarawak dengan hendak mengkaji semula Perjanjian Malaysia.

"Orang Sarawak bijak berpolitik dan mereka sentiasa dinamik. Saya fikir ada perkara tertentu yang mereka suarakan itu memang menjadi hak orang Sarawak.

"Malah, Najib dengan pendekatan terbukanya bersedia melihat perkara itu kerana menyedari Sarawak punyai hak tetapi ia boleh dirunding secara jujur dan ikhlas," katanya. - Berita Harian Online

Comments