Orang Ulu adalah sebahagian daripada Dayak — Dennis Ngau

KUCHING: “Kami adalah sebahagian besar daripada komuniti Dayak di negeri ini,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan, Dennis Ngau.

Beliau yang juga Presiden Kayan Sarawak berkata, tindakan sesetengah pihak yang membezakan takrifan Orang Ulu dan Dayak adalah satu kesilapan besar dan berniat jahat.

“Orang Ulu akan selama-lamanya menjadi sebahagian daripada kaum Dayak di negeri ini,” jelasnya semalam.

Dennis berkata, gelaran ‘Orang Ulu’ adalah ciptaan politik untuk mengumpulkan kira-kira 27 subetnik kecil masyarakat ini yang bertebaran di Ulu Batang Rajang, bermula di Daerah Belaga.

Gambar fail

“‘Orang Ulu’ bukanlah istilah rasmi dan tidak pernah wujud dalam Perlembagaan Malaysia.

“Istilah ini sebaliknya dipopularkan oleh satu persatuan minoriti yang dibentuk pada tahun 1969 yang dikenali sebagai ‘Persatuan Kebangsaan Orang Ulu’ (OUNA).

Antara etnik yang bernaung di bawah kelompok Orang Ulu ialah Kayan, Kenyah, Kajang, Kejaman, Punan, Ukit, Penan, Lun Bawang, Lun Dayeh,Murut, Berawan dan Kelabit.

“Tidak tepat untuk mengatakan Orang Ulu bukan daripada komuniti kaum Dayak dan ia tidak sepatutnya dijadikan isu oleh sesetengah pihak.

“Sebaliknya ia adalah agenda jahat sesetengah pihak yang ingin memecah-belahkan perpaduan di Sarawak kerana rakyat di sini hidup bersatu padu dan harmoni biarpun berbeza agama dan bangsa,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Comments