Dua lelaki dicekup polis di Stutong, Sembunyi dadah RM3.3 juta di dalam akuarium

KUCHING: Biarpun disembunyi dan disorokkan di dalam sebuah akuarium terpakai, pasukan siasatan jenayah narkotik Sarawak berjaya mengesan kehadiran jumlah dadah yang besar menjangkau nilai RM3.3 juta di dalam stor sebuah rumah di Stutong dekat sini, pada Khamis lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Pahlawan Dzuraidi Ibrahim berkata, kejayaan itu membolehkan mereka menahan dua lelaki Cina dan sejumlah 11.64 kilogram syabu dan 282 gram pil ecstasy berjaya dirampas.

“Kejayaan terbesar ini diperoleh selepas polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Stutong di sini sekitar jam 1.30 petang, Khamis lalu.

Kata Dzuraidi, pemeriksaan awal pasukannya selepas melakukan serbuan hanya menemui satu paket lut sinar yang mengandungi kristal yang disyaki dadah jenis syabu di dalam bilik tidur salah seorang suspek.

“Bagaimanapun, pasukan penyiasat kita tidak berputus asa, dan hasil usaha gigih, berjaya menemui dadah tersebut yang disimpan di dalam akuarium yang tersorok.

“Syabu-syabu ini dipercayai untuk edaran pasaran antarabangsa dan telah dipaket  dalam paket lut sinar.

“Turut dirampas 993 pil berwarna biru yang dipercayai dadah jenis ecstasy, yang ditemui di dalam paket lut sinar di lokasi yang sama.

Dzuraidi memberitahu, keseluruhan syabu tersebut mempunyai nilai pasaran RM3.26 juta manakala nilai ecstasy pula dianggarkan lebih RM79 ribu.

Kes katanya, akan disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sabit kesalahan Seksyen 39B akan membawa kepada hukuman mati,” katanya lagi.

Katanya, pihaknya memburu kedua-dua suspek tersebut dan rakan mereka sejak awal tahun.

Semakan lanjut mendapati salah seorang suspek memiliki lima rekod jenayah lampau, termasuk tiga rekod tangkapan di bawah Seksyen 15A (1)(a) dan masing-masing satu tangkapan Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2l Akta Dadah Berbahaya 1952.

Comments