Empat hantu dadah dicekup di dalam stor di Tupong Tengah, jumlah dadah boleh membawa hukuman gantung

KUCHING: Persembunyian empat hantu dadah yang menggunakan rumah stor sebagai pusat pengedarannya, terbongkar setelah pasukan siasatan jenayah narkotik Kuching menyerbu dan menahan kesemua mereka di Kampung Tupong Tengah di sini pada jam 12.30 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, ketika serbuan dilakukan, keempat-empat hantu dadah ini sedang berada di dalam stor papan berkenaan.

“Pasukan serbuan kemudian melakukan pemeriksaan lanjut sebelum menjumpai satu beg hitam yang mengandungi enam plastik lut sinar, tergantung di dinding stor.

“Di dalam plastik lut sinar itu pula terdapat ketulan-ketulan kristal disyaki syabu.

Kata Abang Ahmad, anggaran berat keseluruhan dadah yang dirampas itu adalah sebanyak 80.56 gram, dengan nilai pasaran mencecah hingga RM14,490.

“Siasatan awal kita berjaya memperoleh pengakuan salah seorang suspek yang beg dan dadah tersebut adalah miliknya.

“Dadah itu dikatakan diperoleh daripada seorang pembekal tempatan.

Polis kata Abang Ahmad lagi, turut merampas wang tunai RM1,760 di dalam dompet milik salah seorang suspek yang ditemui di atas meja.

“Saringan urin kesemua suspek pula didapati positif dadah manakala semakan jenayah mendapati dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau.

Pagi tadi kata Abang Ahmad, kesemua suapek yang berusia di antara 26 hingga 34 tahun telah dibawa ke Mahkamah Kuching dan majistret telah membenarkan permohonan reman selama lima hari sehingga 25 September untuk membolehkan polis mengadakan siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – Sarawakvoice

Comments