Kanak-kanak dua tahun diselamatkan selepas dijadikan tebusan bapa sendiri di Kampung Bintawa Hilir

KUCHING: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun selamat selepas seorang pegawai polis melepaskan tembakan taser terhadap suspek, iaitu bapanya sendiri, yang sebelum itu bertindak menjadikan kanak-kanak itu sebagai tebusan dan mengacu lehernya dengan parang tajam.

Tembakan tepat tersebut berjaya melumpuhkan lelaki berusia 33 tahun itu, membolehkan polis membebaskan mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian bermula sekitar jam 5.45 petang semalam apabila Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima laporan berhubung seorang lelaki dikatakan mengamuk di Kampung Bintawa Hilir, dekat sini.

“Lelaki itu dikatakan telah mengacu sebilah parang ke leher anaknya sendiri dan mengugut mencederakannya, jika ada cubaan pihak tertentu, termasuk polis untuk memasuki kawasan rumahnya yang dikunci daripada dalam.

Setiba di lokasi, pegawai dan anggota yang terlibat berusaha memujuk suspek agar menyerah diri dan melepaskan mangsa.

“Suspek terus berdegil dan bimbang keadaan bertambah buruk, anggota yang berada di lokasi berkenaan, yang diketuai Ketua MPV IPD Kuching, Asisten Superintendan Mohd Fauzi Mohammat membuat keputusan menyerbu masuk dengan memecah pintu.

“Sejurus rempuhan dilakukan, Mohd Fauzi pantas melepaskan tembakan taser yang serta-merta melemahkan suspek, sebelum anggota lain menjatuhkan parang yang digunakan dan menyelamat serta melarikan mangsa.

Mangsa kata Abang Ahmad, mengalami cedera ringan dan dirujuk ke Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak.

“Polis telah menahan suspek dan siasatan awal mendapati dia berhadapan masalah emosi dan mental selepas bercerai.

Bagi ASP Mohd Fauzi, ini kali kedua beliau melepaskan tembakan taser di kampung berkenaan selepas insiden seorang wanita berhadapan tekanan perasaan dan cuba membakar diri bulan lalu. – Sarawakvoice

Comments