Pentadbiran saya adil untuk semua kaum — Abang Jo

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengulangi pendirian bahawa pentadbirannya akan mengutamakan kepentingan semua kaum di negeri ini.

“Tidak ada kaum dan etnik yang akan disisihkan.

“Kita malah mempunyai perancangan untuk semua kaum tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban anjuran Takaful Ikhlas Berhad di Masjid Darulhana Patingan, di sini semalam.

Tegas Abang Johari, kerana itu beliau meminta rakyat di negeri ini menolak malah berhenti memainkan isu perkauman dan sentimen keagamaan, bagi membolehkan fokus diberikan kepada usaha membangunkan negeri.

“Kita mahu pembangunan yang boleh mengubah kehidupan masyarakat kita,” katanya.

Beliau menjelaskan, antara projek pembangunan yang menjadi fokus kerajaan kini termasuklah projek penempatan semula penduduk Seberang Hilir ke tapak Projek Pembangunan Darul Hana yang akan bermula hujung tahun ini.

“Projek ini dijangka siap fasa pertamanya dalam tempoh 36 bulan.

Untuk kawasan Satok pula jelasnya, bangunan 22 tingkat, Hikmah Exchange dijangka akan siap pada tahun 2021.

“Ia akan dikembarkan dengan satu lagi projek pembangunan yang akan mentransformasikan jantung kota Kuching ini kepada sebuah daerah perniagaan baharu.

Pada masa yang sama kata Abang Johari, kawasan Padungan, terutamanya di kawasan penempatan flat KMC yang agak sesak, telah dirancangkan pelan pembangunan semula yang akan memberikan wajah baharu untuk kawasan tersebut.

Pembangunan di kawasan Iban, terutamanya dari Kapit ke Hulu Rejang katanya, akan ditangani Lembaga Pembangunan Ulu Rejang yang diketuai Tan Sri Dr James Masing manakala bagi komuniti Orang Ulu pula diwujudkan Lembaga Pembangunan Tanah Tinggi, yang diterajui Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Kedua-dua agensi in tegasnya, diletakkan di bawah pentadbiran Recoda dan dipertanggungjawab merancang dan melaksanakan pembangunan di kawasan terbabit, termasuk membangunkan ekonominya.

Sebanyak 14 ekor lembu ditumbangkan semalam untuk disumbangkan kepada golongan asnaf di 14 kampung di kawasan Satok. – Sarawakvoice

Comments