Polis Kuching cekup hantu dadah cantik dan muda di Kuching

KUCHING: Cantik, muda, tetapi “hantu dadah”. Itu kekurangan yang terdapat pada tiga wanita muda yang dicekup sekitar jam 11 pagi Ahad lalu, setelah pasukan siasatan jenayah narkotik menyerbu sebuah pangsapuri di Jalan Urat Mata dekat sini.

Turut dicekup tiga lelaki yang dipercayai teman lelaki ketiga-tiga wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Abang Ahmad Abang Julai berkata, daripada enam suspek yang ditahan, lima daripada mereka disaring positif dadah jenis Methamphetamine.

“Ketika serbuan tersebut, polis telah menemui satu paket lut sinar yang berisi dedaun kering yang disyaki dadah jenis syabu seberat 2.72 gram, yang disimpan di dalam kotak rokok jenama ‘Dunhill’.

“Terdapat juga satu pinggan plastik yang mengandungi serbuk putih di atasnya, dipercayai dadah jenis ketamin seberat 0.1 gram,” ujarnya.

Kata Abang Ahmad lagi, harga pasaran kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM72.40.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang secara akumulatif memperuntuk denda maksimum sebanyak RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun. – Sarawakvoice

Comments