KUCHING: Polis Padawan semalam menahan seorang anggota polis untuk membantu siasatan terhadap kes serangan seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Jalan Batu Kawa di sini.
Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, ia susulan laporan polis oleh mangsa, sekitar jam 12.45 pagi semalam di Balai Polis Batu Kawa.
“Anggota terbabit dipercayai teman keluarga mangsa dan bertugas di Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontijen.
“Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1.10 petang pada 4 September apabila suspek
berkunjung ke rumah mangsa di Jalan Batu Kawa dan menawar diri untuk menghantar mangsa ke kedai kakaknya.
Bagaimanapun kata Dev, ketika dalam perjalanan, suspek telah membuat lencongan dengan membawa mangsa ke tempat yang terpencil di kawasan Batu Kawa sebelum melakukan serangan seksual fizikal terhadapnya.
“Suspek yang berusia 33 tahun telah ditahan sekitar jam 5.30 petang semalam oleh sepasukan anggota siasatan jenayah IPD Padawan yang diketuai Asisten Superintendan Sofian Abu Bakar di sebuah rumah di Kampung Pinang Jawa, di sini.
“Perintah tahanan reman akan dipohon esok (hari ini) di Mahkamah Kuching dan kes disiasat di bawah Seksyen 14, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, ” katanya lagi. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment