Tiga individu guna samurai rompak tiga kedai 24 jam, seorang pemandu motosikal dalam tempoh 48 jam dijaring polis Kuching malam tadi
KUCHING: Tindakan pantas pasukan siasatan jenayah Daerah Kuching berjaya mengekang kelicikan dua perompak, yang melakukan empat rompakan dalam tempoh dua hari di tiga daerah pentadbiran polis di sini.
Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, rompakan pertama dilaporkan pada jam 3 pagi Isnin lalu apabila dua suspek lelaki yang memakai helmet penuh memasuki kedai serbaneka 24 jam di Kota Sentosa, Padawan.
“Salah seorang daripada mereka menghunus pedang samurai manakala rakannya bersenjatakan tongkat.
“Ketika melakukan serbuan, mereka memaksa pembantu kedai untuk menyerahkan RM600 dari daftar tunai sebelum melarikan diri dengan menggunakan kenderaan Proton Saga.
Kata Dev, sekitar jam 4 pagi keesokannya, dua suspek yang sama mengulangi perbuatan mereka dengan memecah masuk kedai serbaneka 24 jam di MTLD, Kota Samarahan.
“Dengan modus operandi yang sama, mereka yang memakai topi keledar penuh menggunakan senjata pedang dan tongkat untuk memaksa pembantu kedai menyerahkan RM835 dan beberapa kartun rokok.
“Lagi sekali mereka melarikan diri menggunakan Proton Saga,” katanya.
Sekitar jam 5.00 pagi hari yang sama, kedua-duanya lelaki ini menyerbu pula sebuah kedai serbaneka lain di Stutong.
“Dengan modus operandi dan senjata yang sama, mereka memaksa pekerja asing menyerahkan wang tunai dan rokok berjumlah RM1,500.
Sekitar jam 12.30 tengah hari kemudiannya, suspek yang menaiki kenderaan Proton Saga telah melanggar seorang penunggang motosikal di Kuching-Samarahan By-Pass, menyebabkan mangsa, seorang pengimpal berusia 18 tahun terjatuh dari motosikal dan cedera di kaki.
“Salah seorang suspek keluar dari kenderaan itu sebelum mengacu pedang samurai dan memaksa mangsa menyerahkan telefon bimbit, dokumen peribadi dan wang tunai RM16.
Susulan insiden itu kata Dev, satu pasukan petugas khas telah diwujudkan untuk menjejak dan menahan suspek sebelum mereka melakukan lebih banyak kes.
“Dalam tempoh beberapa jam, identiti suspek dan lokasi persembunyian mereka berjaya dijejaki.
“Pada jam 8.30 malam semalam, pasukan siasatan jenayah Kuching yang diketuai Asisten Superintendan Ooi Jin Bing telah melakukan serbuan di sebuah bilik di rumah tumpangan di Kota Sentosa, Padawan, seterusnya menahan tiga suspek.
Dua daripada mereka katanya, adalah lelaki, berumur 26 dan 24 tahun manakala yang ketiga adalah perempuan, berumur 19 tahun.
“Suspek kemudian menunjuk arah polis akan kenderaan Proton Saga yang digunakan semasa rompakan.
“Kenderaan itu diletakkan di hadapan sebuah kedai runcit yang tidak jauh dari rumah tumpangan tersebut.
Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan tersebut mendapati ia dilaporkan dicuri pada di Stutong, pada 5 September.
“Polis turut menemui pedang samurai, tongkat, dua helmet, dua pasang sarung tangan, rokok, pemetik api, telefon bimbit dan wang tunai.
“Saringan air kencing pula mendapati ketiga- tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine (syabu).
Suspek perempuan kata Dev, dipercayai berada di dalam kereta semasa mereka melakukan rompakan keempat.
Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.
“Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Kuching petang ini untuk proses tahanan reman,” katanya.
Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Amer Awal turut merakamkan tahniah kepada Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai dan pasukan siasatan jenayahnya kerana berjaya menangani jenayah kumpulan ini dalam tempoh yang singkat. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment