Peluru, senjata api, parang, samurai ditemui di dalam Kancil, dua lelaki asal Sebuyau ditangkap polis Kuching
KUCHING: Tindakan pantas sepasukan anggota Balai Polis Satok melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan mencurigakan di kawasan parkir Pasar Sungai Maong awal pagi tadi berjaya menemui beberapa bilah dan laras senjata yang disyaki digunakan untuk aktiviti jenayah.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, senjata tersebut ditemui di dalam kenderaan Perodua Kancil ketika pemeriksaan dilakukan sekitar jam 2.15 pagi.
“Antara senjata tersebut termasuklah tiga butir peluru yang dijumpai di bawah kerusi tempat duduk hadapan sebelah penumpang, dua laras senjata api menyerupai senapang yang dijumpai di bonet belakang kenderaan dan dua bilah parang yang dijumpai di bahagian bonet belakang.
“Turut ditemui dua bilah samurai di sisi pintu sebelah pemandu, satu unit pocket schale di belakang poket tempat duduk pemandu dan satu beg hitam di bahagian belakang kerusi pemandu yang mengandungi alat untuk membakar syabu, bungkusan pil berwarna putih dan pisau kecil.
Susulan penemuan tersebut kata Abang Ahmad, kedua-dua suspek ditahan dan direman untuk siasatan lanjut.
Suspek pertama berusia 27 tahun dari Rumah Gerugu, Kampung Sagu, Sebuyau manakala suspek kedua berusia 47 tahun dari Kampung Hulu, juga di Sebuyau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment