Sarawak tiada masalah anjur Octoberfest, asalkan bukan Better Beer atau Beer Festival — Karim

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak tidak berhalangan dengan penganjuran “Octoberfest”, tetapi bukan atas nama “Better Beer” atau “Beer Festival “.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran Octoberfest merupakan festival kebudayaan yang berasal dari Hannover, Jerman, telah telah berpuluh tahun dipromosikan di sini.

“Ia pesta kebudayaan yang penuh dengan sajian makanan Jerman.

“Dan dalam masyarakat Eropah, makanan ini disajikan sekali dengan minuman keras.

Katanya, jika ada pihak yang mengatakan Octoberfest adalah pesta arak, beliau agak kurang bersetuju.

“Kita kena memahami asal-usul perayaan ini. Saya tidak nampak akan ada masalah pada penganjurannya.

“Jika mereka minum minuman keras sekali pun, saya tidak fikir ia satu kesalahan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam selepas mempengerusikan mesyuarat Regata Sarawak.

Abdul Karim menjelaskan, terpulang kepada setiap individu untuk minum, asalkan mereka tahu akan batasannya, dan tidak mabuk.

“Octoberfest merupakan perayaan yang harus dilihat secara positif, seperti mana kita melihat sambutan Gawai Dayak.

“Cuma kaedah promosi Publika yang dilihat agak tidak sensitif, yang seolah-olah menonjolkan pertandingan mencari bir yang terbaik.

Berkait kedatangan pelancong, Abdul Karim berkata, jumlah pelancong ke negeri ini pada tahun ini meningkat 10 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Ia memberikan keyakinan kepada kita bahawa sasaran lima juta pelancong akan tercapai.

“Malah kita juga menjangkakan peningkatan jumlah pelancong tahun depan, susulan pertambahan jumlah penerbangan langsung ke negeri ini,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Comments