Dua lelaki ditangkap polis kerana samun Ayam sabung menggunakan parang di Serian

SERIAN: Kerana ayam sabung, dua lelaki “mendaftar masuk” selama seminggu di lokap Balai Polis Serian, selepas mengacu parang ke leher seorang pekerja ladang, sebelum melarikan ayam sabung yang dipelihara.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis memberitahu, kejadian berlaku pada jam 4 petang , 4 September lalu.

“Tiga suspek yang menaiki kenderaan Perodua Viva warna putih telah memgunjungi sebuah ladang ternakan di Batu 29, Kampung Palah, di sini sebelum mengambil parang yang terletak di ladang tersebut dan mengacunya ke leher pekerja ladang.

“Suspek kemudian melarikan telefon jenis Lenovo 850 dan mengambil lima ekor ayam sabung baka Filipina.

“Mangsa dianggarkan kerugian RM15 ribu akibat kejadian samun itu, namun pekerja ladang tidak dicederakan.

Aswandy berkata, bertindak atas maklumat awam, pada jam 6.30 petang 6 September, sepasukan anggota siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Serian telah membuat tangkapan terhadap dua lelaki.

“Turut dirampas daripada kedua-dua suspek ialah seekor ayam dan sebuah kereta Perodua Viva warna perak.

“Pihak kita juga telah mendapatkan perintah reman terhadap kedua-dua suspek selama tujuh hari sehingga 13 September untuk membolehkan siasatan lanjut dilakukan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan tanpa bersenjata api. – Sarawakvoice

Comments