Satu lagi kes sumbang mahram, datuk dan bapa saudara ditahan polis kerana rogol kanak-kanak berusia 7 tahun di Sibu

SIBU: Polis Sarawak merekodkan satu lagi kes sumbang mahram hari ini apabila satu laporan diterima membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar ketika mengesahkan kes tersebut berkata, kejadian terbongkar apabila ibu mangsa yang berusia 27 tahun dimaklumkan
oleh anaknya pada 2 September lalu bahawa dia telah diperkosa beberapa kali oleh datuk dan bapa saudaranya sejak tahun lalu.

“Suri rumah itu dimaklumkan bahawa kejadian berlaku di rumah datuknya, di sebuah rumah panjang di Sungai Durin, di sini.

“Ketika itu, mangsa yang berada dalam Tahun 1 tinggal di rumah datuknya untuk bersekolah manakala ibunya tinggal di Mukah.

Menurut Dev, susulan laporan yang diterima, sekitar jam 1 petang tadi, sepasukan anggota siasatan jenayah Sibu yang diketuai oleh Asisten Superintendan Irwan Hafiz telah menahan suspek pertama, iaitu bapa saudaranya yang berusia 25 tahun di kilang kayunya di Durin.

“Sekitar jam 2.00 petang pula, pasukan yang sama menahan suspek kedua, iaitu datuk mangsa yang berusia 53 tahun di rumah panjangnya di Sungai Durin.

Menurut Dev, datuk mangsa yang juga seorang penganggur baharu dibebaskan dari penjara pada 2016, selepas menjalani hukuman 12 tahun dan lima sebatan untuk kesalahan rogol terhadap anaknya sendiri iaitu ibu saudara mangsa pada tahun 2008.

Kedua-dua suspek akan ditahan reman di Mahkamah Sibu pada pagi esok. – Sarawakvoice

Comments