Gempar Alex Ferguson cedera kemalangan di Bukit Begunan

SRI AMAN: Anggota bomba yang melakukan kerja-kerja menyelamat sebuah kenderaan yang kemalangan di Kilometer 36, Bukit Begunan di sini gempar, apabila mendapati lelaki malang yang terbabit ialah Alex Ferguson.

Ferguson mengalami cedera pada bahagian bahu selepas kenderaan yang dinaikinya dilanggar sebuah lori kargo 10 tan dari belakang, sebelum terbabas ke dalam parit.

Namun beliau bukanlah Sir Alex Ferguson yang terkenal memimpin Manchester United, sebaliknya Alex Ferguson versi Sarawak, 25 tahun, yang bekerja sebagai kelindan untuk syarikat CCK.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan membabitkan Ferguson sekitar jam 9.33 malam semalam.

“Sebuah jentera FRT, pacuan empat roda Toyota Hilux, van Urvan dan ambulans EMRS dengan kekuatan 10 anggota, termasuk 4 anggota sukarela kemudian dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman.

“Setibanya di lokasi, pasukan terbabit melaporkan kemalangan melibatkan dua buah lori.

“Sebuah lori kargo 10 tan yang membawa muatan baja  telah melanggar bahagian belakang sebuah lori syarikat CCK yang membawa  bahan makanan sejuk beku sebelum terbabas ke dalam parit dengan kedalaman lima meter.

Kata Ling Hii, pasukannya mendapati dua mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan kelindan di dalam lori sejuk beku itu manakala dua lagi mangsa iaitu pemandu dan kelindan tersepit di dalam lori kargo 10 tan.

“Seorang lagi mangsa bagaimanapun berjaya keluar dengan sendiri dan mengalami cedera ringan .

Kata Ling Hii, pasukan terlibat kemudian bertindak  mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan “rescue tool” namun gagal.

“Disebabkan berhadapan kesukaran, pasukan kemudian telah meminta bantuan jengkaut milik syarikat Naim Gamuda, yang sedang melaksanakan projek Lebuh Raya Pan Borneo untuk menarik lori berkenaan.

“Mangsa kedua kemudian  berjaya dikeluarkan pada jam 1.35.pagi dari lori syarikat CCK manakala mangsa ketiga dikeluarkan pada jam 3.00 pagi, sebelum mangsa keempat 50 minit kemudian.

“Kesemua mangsa yang selamat dikeluarkan dan dihantar dengan menggunakan ambulans ke Hospital Sri Aman.

Selain Ferguson, turut cedera, pemandu lori sejuk beku berusia 50 tahun, pemandu lori berusia 60 tahun dan dua kelindannya yang berusia 20-an. – Sarawakvoice


Comments