Dikurung, dipukul, dipaksa kerja tanpa gaji selama tiga tahun, 11 rakyat Indonesia menangis dibebaskan Polis Bintulu

BINTULU: Dikurung, dipukul dan dipaksa bekerja selama tiga tahun tanpa sebarang upah.

Itulah kesengsaraan yang dialami 11 “buruh paksa” yang berjaya diselamatkan oleh Polis Bintulu semalam.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar, berkata bertindak atas maklumat pemerdagangan orang, sekitar jam 2.45 petang semalam, sepasukan anggota siasatan jenayah Bintulu diketuai oleh Inspektor Nixon Malang telah menyerbu sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Heng, Jalan Sebiew dekat sini bagi menyelamatkan mangsa.

“Pasukan serbuan terpaksa memotong mangga di pintu hadapan sebelum menyerbu masuk ke dalam rumah.

“Setelah itu, mereka terpaksa memecah satu lagi pintu untuk membuka bilik khas yang  turut dikunci dari luar.

Di dalam bilik khas yang sempit itu, pasukan polis telah menemui sembilan wanita dan dua lelaki warga Indonesia terkurung.

“Yang menyedihkan, apabila sahaja mereka melihat kelibat pasukan polis, mereka telah menangis dan merayu untuk diselamatkan.

Sembilan wanita yang diselamatkan in kata Dev, berumur di antara 18 hingga 40 tahun dan manakala dua lelaki berusia 23 dan 44 tahun.

Susulan penemuan itu katanya, pemilik rumah iaitu sepasang suami isteri, dengan suami berumur 59 tahun dan isteri yang berumur 53 tahun yang turut berada di dalam rumah berkenaan telah ditangkap.

“Penahanan mereka bagi membantu siasatan kes memperdagangkan orang secara buruh paksa.

Ketika ditahan kata Dev, wanita berumur 53 tahun itu bukan sahaja mencarut, malah mengugut pasukan polis dan mengeluarkan kata-kata lucah.

“Siasatan awal polis mendapati 11 mangsa itu telah dipaksa oleh kedua-dua suspek untuk membersih sarang burung.

“Mereka telah dikurung hampir tiga tahun dan tidak dibenarkan keluar.

“Mereka malah dipukul oleh kedua-kedua suspek jika kerja tidak memuaskan.

Kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Bintulu pagi ini manakala mangsa-mangsa telah dihantar ke rumah perlindungan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM). – Sarawakvoice

Comments