Guru dan keluarga diikat penyamun di Kampung Meranek, Kota Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Seorang guru wanita menempuh detik mencemaskan apabila dia dan keluarganya diikat empat lelaki, tiga bersenjatakan pisau, yang memecah masuk kediamannya di Kampung Meranek, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi semalam itu, mangsa yang berusia 38 tahun bersama tiga anak serta ibu dan bapa mentuanya sedang tidur ketika rumah mereka diceroboh kumpulan penjenayah itu.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, suspek kemudian mengikat mangsa bersama ibu dan bapa mentuanya di dalam sebuah bilik sebelum menyelongkar untuk mencari barang berharga.

Suspek menemui wang tunai berjumlah RM1,500, gelang, rantai emas dan dua telefon bimbit selain tablet yang nilai keseluruhan dianggarkan RM20,000.

"Tiga daripada empat suspek memakai topeng dan bersenjatakan pisau itu dipercayai warga Indonesia memecah masuk rumah mangsa selepas memotong jeriji tingkap di bahagian belakang.

"Suspek mengarahkan mangsa dan ahli keluarganya untuk menuruti arahan mereka sekiranya tidak mahu dicederakan namun usaha bapa mentua mangsa yang cuba melawan menyebabkan warga emas itu cedera di belakang badan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan, hari ini.

Chong berkata, suspek kemudian melarikan barangan berharga milik mangsa namun meninggalkan peralatan pecah rumah seperti pemotong besi, spanar, pemukar skru dan sarung tangan yang digunakan ketika kejadian di luar rumah.

Katanya lagi, polis tidak menolak kemungkinan suspek melarikan diri menggunakan kenderaan yang diletak jauh dari rumah mangsa bagi mengelak kehadiran mereka dikesan penduduk kampung.

"Usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada mangsa serta risikan polis menerusi Ops Rantau dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata," katanya. - Berita Harian Online

Comments