Nelayan hilang di laut Gerigat ditemui masih hidup oleh pasukan SAR

KABONG: Seorang nelayan dari Kampung Gerigat dekat sini yang hilang ketika berada di laut pada malam 17 Oktokber berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) petang semalam.

Pasukan SAR berjaya menjumpai mangsa di tebing sungai dalam keadaan lemah dan tidak bermaya

Menurut mangsa, pada hari kejadian bot yang digunakan telah karam dihempas gelombang dan mangsa telah berusaha menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing mengharungi ombak dalam keadaan malam yang gelap.

Mangsa yang sudah tidak bertenaga untuk berjalan hanya menunggu di tebing sungai dengan mengharapkan kehadiran orang ataupun pasukan menyelamat ke kawasan terbabit.

Petang semalam kira-kira jam 5 petang pasukan SAR berjaya menjejaki mangsa yang sedang tersandar di tebing sungai dalam keadaan lemah.

Mangsa seterusnya dibawa dengan bot penyelamat bomba ke Kampung Gerigat kemudian dirujuk ke Klinik Kesihatan Nyabor untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

Mangsa yang dikenali sebagai Abu Sahir Salleh berusia 41 tahun keluar dari rumah pada jam 1 pagi (17 Oktober) untuk menangkap ketam di laut berhampiran Kampung Gerigat.

Isteri mangsa Nancy Sidek,35, dari Kampung Gerigat membuat laporan di balai polis kabong kira-kira jam 12.20 tengah hari semalam selepas usaha adiknya bersama beberapa rakannya yang turun ke laut untuk mencari suami gagal menjumpai mangsa.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) semalam dilakukan oleh pihak polis bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) Rela dan penduduk kampung bemula jam 3 petang.

Operasi pihak berkenaan dihentikan jam 5.30 petang sebaik mangsa berjaya ditemui. – Sarawakvoice


Comments