Golongan muda hanya bising di Facebook, tetapi tidak mendaftar sebagai pengundi

KUCHING: Mengapakah golongan muda tidak berminat mendaftar sebagai pengundi?

Adakah kerana mereka bersikap skeptis dan muak dengan politik?

Atau mereka tidak yakin bahawa pemimpin politik dapat mengubah nasib mereka dan negara?

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah baru-baru ini berkata, kesedaran dalam kalangan golongan muda berusia 21 hingga 39 tahun untuk mendaftar sebagai pengundi masih rendah jika dibandingkan dengan kumpulan umur lain.

Gambar fail

Katanya, daripada 30,000 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang didekati SPR dalam Program Pendidikan Pengundi sejak Februari lepas, hanya 2,700 orang atau kurang daripada 10 peratus mendaftar sebagai pengundi.

Golongan muda tidak berminat mendaftar sebagai pengundi.

Meskipun pelbagai kempen kesedaran termasuk pendekatan turun padang dijalankan pihak SPR supaya golongan itu menggunakan hak mereka sebagai warganegara untuk mengundi, namun usaha itu tidak membuahkan hasil yang sepatutnya.

Penganalisis politik berkata, golongan muda hanya bising bercakap di media sosial dan media baharu, tetapi enggan bertindak secara pragmatik.

“Tidak ada gunanya mereka berteriak dan hanya berwacana melalui Facebook, mengutuk parti pembangkang dan kerajaan seolah-olah mereka sahaja yang betul dan pandai, jika mereka tidak mendaftar sebagai pengundi,” katanya.

Mereka katanya, memberi pelbagai alasan tidak mendaftar, termasuk sibuk, tidak tahu tempat mendaftar dan alasan remeh-temeh lain.

“Ada juga kata satu undi  mereka tidak membawa sebarang makna, tak akan ubah siapa yang akan memimpin negara ini,” katanya.

“Adakah mereka sudah terperangkap oleh sindrom tidak kisah? Mereka sepatutnya mendaftar dan jangan hanya pandai mengkritik dan menulis melalui Facebook,” katanya.

Beliau juga berkata, golongan muda, termasuk pelajar universiti dan siswazah lebih berminat dengan isu perumahaan, peluang pekerjaan dan kos sara hidup, tetapi tidak mengambil tindakan untuk membabitkan diri dalam pilihan raya. – Sarawakvoice

Comments