Sakit…Kawan mama simpan sampah dalam kemaluan, cetus kanak-kanak dirogol di Jalan Matang

KUCHING: “Sakit… kawan mama simpan ‘sampah’ di dalam kemaluan adik!,” itu rintihan seorang kanak-kanak berusia empat tahun kepada emaknya tengah malam tadi, sekali gus mencetuskan kegemparan bahawa dia menjadi mangsa rogol.

Lebih menyedihkan, kanak-kanak malang itu dipercayai diperkosa oleh pekerja bapanya sendiri yang baharu tiga minggu “menumpang” di rumah mereka di Kilometer 16, Jalan Matang bagi membantunya memulakan pekerjaan perikanan laut dalam.

Curiga akan pengakuan anaknya, ibu mangsa, juga seorang warga Vietnam berusia 33 tahun memeriksa kemaluan anaknya dan mendapati terdapat kesan lendir.

Susulan penemuan tersebut, sekitar jam 3 pagi tadi, ibu mangsa dan suami membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kawa dekat sini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan memberitahu, ekoran laporan tersebut, sekitar jam 5 pagi tadi, pasukan siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Padawan telah menahan seramai lapan lelaki warga Vietnam di rumah keluarga mangsa untuk membantu siasatan.

Kesemua suspek yang berusia di antara 19 hingga 47, tahun katanya, akan dibawa ke Mahkamah Kuching pagi esok untuk proses permohonan reman.

Mangsa kata Aidil, telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan awal.

Kes dipercayai berlaku sekitar jam 3.00 hingga 5.00 petang semalam apabila ibu dan bapa mangsa telah meninggalkannya sementara kepada beberapa suspek yang menumpang di rumah ibu mertua mereka kerana terpaksa memperbaharui visa di Jabatan Imigresen Malaysia di Bangunan Sultan Iskandar.

Kesemua suspek kata Aidil, merupakan pekerja bapa mangsa yang menumpang sementara di rumah ibu mertuanya sementara menunggu kapal yang digunakan untuk menangkap ikan di laut dalam siap dibina.

Bapa mangsa katanya, baharu sahaja menjalankan perniagaan perikanan laut dalam selepas kembali ke Kuching tiga bulan lepas setelah sekian lama menetap di Vietnam. – Sarawakvoice

Comments