Wanita dipercayai gantung diri selepas gaduh dengan suami di Kampung Bintawa Ulu

KUCHING: Kecewa selepas bergaduh dengan suami, seorang wanita dipercayai nekad mencabut nyawa sendiri apabila ditemui tergantung di bilik tidur rumah mereka di Bintawa Ulu di sini, semalam.

Menurut sumber, mangsa berusia 22 tahun itu sebelum kejadian bertengkar dengan suaminya menyebabkan si suami terpaksa tidur di ruang tamu, manakala mangsa serta anak mereka yang baharu berusia dua bulan tidur di bilik tidur.

Difahamkan, si suami mulanya tidak mengesyaki apa-apa sehingga dikejutkan dengan tangisan anak mereka yang berterusan sekitar jam 6 pagi.

“Si suami dikatakan mula risau apabila anak mereka terus menangis tanpa diperdulikan isterinya menyebabkan dia terus masuk ke dalam bilik tersebut dan terkejut apabila melihat isterinya dalam keadaan tergantung.

“Mangsa kemudian segera diturunkan suaminya dan kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” kata sumber.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang memeriksanya sejurus tiba di Unit Kecemasan HUS.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk bedah siasat. -Utusan Borneo Online

Comments