Polis Kuching lancar Ops Tutup buru suspek lari dari tahanan

KUCHING: Polis Kuching sebentar tadi menggerakkan semua elemen untuk memburu seorang lelaki “Orang Kena Tangkap” (OKT) yang meloloskan diri daripada kawalan anggota Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Abang Junaidi Abang Annuar ketika mengesahkan insiden ini berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.30 petang tadi di Pondok Pengawal IPD Kuching.

“Suspek yang dikenal pasti sebagai Zulkipli Morni, 34 tahun, merupakan pesalah yang berhadapan tuduhan di bawah Seksyen 394/395 kerana melakukan samun bersenjata dan sedang menunggu kenderaan bersama-sama dua OKT lain untuk dihantar ke Penjara Pusat di Puncak Borneo, selepas menghadiri sebutan kes di mahkamah.

“Bagaimanapun dalam proses menunggu itu, dia berjaya membuka gari sebelum meluru ke luar pagar kompleks IPD Kuching.

“Anggota yang bertugas di bilik pengawal cuba mengejar suspek namun suspek telah masuk ke dalam sebuah kereta sedan berwarna putih jenis Proton Iswara yang menunggu di luar pagar sebelum memecut ke arah jalan besar.

“Ketika melarikan diri, suspek memakai baju berwarna ungu dan berseluar jeans biru.

Kata Abang Junaidi, arahan dan gerakan mengesan dan menangkap suspek telah dikeluarkan, dan semua elemen polis Kuching diarahkan mengaktifkan “Op Tutup” untuk tujuan ini. – Sarawakvoice

Comments