8 rakyat Vietnam yang disyaki perkosa budak 4 tahun di Jalan Matang direman 8 hari

KUCHING: Mahkamah Kuching semalam membenarkan tahanan reman selama lapan hari terhadap lapan rakyat Vietnam yang disyaki merogol seorang kanak-kanak berusia empat tahun di Jalan Matang pada Isnin lalu.

Pendaftar Mahkamah, Satia Kombi membenarkan tahanan reman bagi kesemua suspek yang berusia di antara 18 hingga 47 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kes terbongkar apabila mangsa yang merupakan anak kepada majikan suspek, yang ibunya warga Vietnam dan bapanya penduduk tempatan, mengadu sakit pada bahagian kemaluan pada tengah malam Isnin lalu.

Ibu mangsa yang berusia 33 tahun kemudian memeriksa kemaluan anaknya dan mendapati terdapat kesan lendir.

Curiga dengan hasil penemuan tersebut, sekitar jam 3 pagi, ibu mangsa dan suami membuat laporan polis di Balai Polis Batu Kawa, sebelum sekitar jam 5 pagi, pasukan siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan menahan ksemua suspek di rumah keluarga mangsa.


Kesemua suspek merupakan pekerja bapa mangsa yang menumpang sementara di rumah ibu mertuanya kerana menunggu kapal yang digunakan untuk menangkap ikan di laut dalam siap dibina.

Bapa mangsa katanya, baharu sahaja menjalankan perniagaan perikanan laut dalam selepas kembali ke Kuching tiga bulan lepas setelah sekian lama menetap di Vietnam.

Mangsa juga telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan kesihatan. – Sarawakvoice

Comments