Sarawak bakal ucap selamat tinggal kepada Liga Super, Piala Malaysia musim depan

KUCHING: Sarawak mungkin terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super 2018 apabila isu pelesenannya berhadapan masalah yang gagal diselesaikan.

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais berkata, mereka tidak ada pilihan memandangkan FMLPP memberi tempoh sehingga 16 Oktober depan, untuk persatuan itu menghantar dokumen dan menyelesaikan hutang tertunggak kepada badan-badan wajib, bagi membolehkan lesennya diperbaharui.

“Badan-badan berwajib ini ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja dan Perkeso.

Gambar Fail

“Masalahnya sekarang, kami tidak tahu-menahu dan tidak ada kuasa untuk mengetahui tentang jumlah hutang tertunggak itu, kerana ia diuruskan oleh pengurusan terdahulu iaitu FAS FMG Sdn Bhd,” katanya dalam sidang media khas selepas mesyuarat exco persatuan itu sebentar tadi.

Difahamkan jumlah hutang tertunggak terbabit menjangkau hampir RM1 juta.

Kata Posa, pihaknya hanya dapat menyediakan laporan kewangan interim yang diminta FMLPP iaitu dari bulan Januari hingga Jun tahun ini, seperti yang dikehendaki.

“Selebihnya, laporan kewangan beraudit untuk tempoh 2012 hingga 2016.

“Kami tidak mempunyai dokumen tersebut dan ia ditadbir oleh pengurusan lama.

“Kami pun tidak pasti jika mereka memiliki wang untuk membayar tunggakan terbabit,” kata Posa lagi.

Katanya, beliau hanya menyertai persatuan ini pada Januari lalu, dan hanya dapat bertanggungjawab terhadap perkara yang berlaku sejak beliau mengambil alih.

“Itu pun kita telah membayar kompaun mencecah puluhan ribu berkait hutang-hutang ini,” jelasnya.

Katanya, perbincangan dengan pengurusan FAS FMG Sdn Bhd telah dilakukan pada 11 September lalu dan mereka bersetuju untuk membayar hutang piutang mereka, manakala pihak kita menanggung segala hutang atas nama FAS.

FAS FMG Sdn Bhd didaftarkan pada 17 Disember 2008 dan pengerusinya ialah bekas presiden persatuan itu, Datu Sudarsono Osman.

Kata Posa lagi, pihaknya akan merayu kepada FMLPP bagi memohon penangguhan notis sebelum 16 Oktober ini, kerana isu yang dialami oleh persatuan itu agak rumit.

“Kita mahu perkara ini diselesaikan sebaik mungkin, termasuk laporan audit yang teratur.

“Dan ini tidak dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu,” katanya lagi.

Kata Posa lagi, pihaknya akan bekerja keras untuk menyelesaikan isu ini agar seboleh-bolehnya, pasukan Sarawak kekal bersaing pada musim depan.

Hadir sama Setiausaha Agung FAS, Razali Dolhan. – Sarawakvoice

Comments