Wanita lacurkan anak kandung 14 tahun untuk bayar hutang di Lawas

LAWAS: Polis Lawas petang semalam menahan seorang wanita kerana disyaki melacurkan anak kandungnya sendiri, untuk membayar hutang pada April lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, wanita berusia 30 tahun itu ditahan sekitar jam 2.15 petang oleh sepasukan anggota siasatan jenayah Lawas yang diketuai oleh Inspektor Masri Lamsin di sebuah rumah di Jalan Liaw Kim Liu, di sini.

“Kurang sejam kemudian, sekitar jam 3.05 petang, pasukan yang sama telah menahan seorang lagi suspek, iaitu seorang wanita berumur 45 tahun, yang juga pemilik sebuah pusat karaoke di Jalan Haji Matussin, juga di sini bagi membantu siasatan.

Kedua-dua tangkapan ini katanya, dilakukan susulan satu laporan polis oleh seorang Ketua Kampung di Balai Polis Lawas, sekitar jam 10.55 pagi semalam berhubung tindakan seorang ibu “menjual kehormatan anak kandungnya” yang berusia 14 tahun bagi menjelaskan hutang.

“Menurut mangsa, semasa dia bekerja sebagai pelayan di sebuah pusat karaoke di sini, dia telah dipaksa oleh ibu kandungnya dan pemilik pusat karaoke itu untuk mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki yang tidak dikenali.

“Ibu mangsa dikatakan sedang berada dalam situasi berhutang dan meminta mangsa mengikut lelaki tersebut ke sebuah hotel di bandar ini.

Mangsa kata Dev, kemudian melihat lelaki ini membayar wang RM1 ribu kepada pemilik karaoke.

“Mangsa mendakwa lelaki ini telah merogolnya sebanyak tiga kali di dalam bilik hotel tersebut, dan hanya keluar dari bilik pada keesokannya, tanpa menceritakan ‘detik hitam’ itu kepada sesiapa.

Kata Dev, kejadian ini hanya diketahui oleh Ketua Kampung tersebut hari ini, dan mangsa telah dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.

“Usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti dan menjejaki lelaki yang didakwa telah merogol mangsa.

Kedua-kedua suspek katanya lagi, akan dibawa ke Pejabat Daerah Lawas pagi ini untuk permohonan reman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43 (1) (a) & (d) Akta Kanak-kanak 2001. – Sarawakvoice

Gambar hiasan

Comments